Bismillahirrahmanirrahim
Universiti Hati: Rahsia Ruh Yang Terhijab (Bahagian 1)
Tajuk: Universiti Hati: Rahsia Ruh yang Terhijab
Oleh: Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani
Tarikh: 08.02.2026 (Bahagian 1)
Rujukan: Daurah Kitab Tasawwuf
Tempat: Pondok Raudhah, Jempol
Sumber: facebook
Doa adalah bayaran terbaik bagi seorang guru untuk ilmu yang disampaikan. RM 100 bahkan RM 1 juta pun tiada nilainya untuk membayar ilmu. Jika kita masuk ke kubur, adakah akan kekal dengan kita walaupun satu ringgit? Kita sering menyibukkan hati dengan nilaian ringgit hingga melupakan rahmat Allah yang ada dalam kalangan kita. Kita harus memperakui bahawa kita telah kehilangan rahmat yang Allah anugerahkan ini. Apakah rahmat yang dimaksudkan? Itulah Rahmat Mahabbah- hidup dengan cinta dan kasih sayang.
Mahabbah itu adalah semata-mata kerana mahabbah itu sendiri, bukan kerana sesuatu yang lain. Persoalan untuk kita semua: Siapakah yang terlebih dahulu mencintai? Adakah kita yang lebih dahulu mencintai Allah, atau Allah yang telah terlebih dahulu mencintai kita? Siapa kita sebenarnya sehingga Allah terlebih dahulu mencintai kita? Kita hanya sebatas makhluk!
Di sinilah hakikatnya Allah sedang mengajarkan kita bahawa cinta bukan melihat siapa yang tinggi atau siapa yang rendah, siapa Pencipta dan siapa makhluk. Cinta itu adalah semata-mata kerana cinta, bukan kerana kepentingan yang lain. Maka tangisilah dirimu sendiri wahai manusia, iaitu mereka yang lalai daripada memahami makna cinta ini. Perumpamaan bagi yang lalai itu seperti jasadnya ada di sini, tetapi jiwanya tidak di sini.
Persoalannya: Adakah kalian mencintai Allah kerana syurga-Nya?
Jika engkau katakan: "Aku mencintai Allah kerana inginkan syurgaNya," maka engkaulah si pendusta, bukan seorang pencinta. Demikian juga jika engkau mengatakan cinta kepada Allah kerana takutkan azab nerakaNya, maka engkau jua seorang pendusta, bukan sang pencinta.
Lantas, mengapakah sebenarnya kita mencintai Allah? Kita mengambil pelajaran tentang cinta ini melalui seorang wanita bernama Rabiatul Adawiyah. Cinta tidak diukur datangnya daripada lelaki atau wanita, namun dilihat daripada siapa yang benar-benar tulus menginginkan Allah. Cinta tidak memerlukan sijil daripada mana-mana universiti atau bergraduasi dari mana-mana kuliah.
Justeru, apakah sebenarnya universiti bagi cinta ini? Ia hanya memiliki sebuah universiti sahaja, bahkan satu kuliah sahaja. Siapakah antara kalian yang ingin masuk ke universiti ini supaya dapat aku tunjukkan jalannya? Itulah Universiti Hati. Maka lihatlah di mana hatimu, bersama siapakah hatimu, dan di manakah letaknya hatimu, wahai hamba yang lalai.
Jika engkau mencintai seseorang kerana hartanya, maka hatimu sebenarnya terpaut pada harta. Jika engkau letakkan hatimu pada kecantikan, maka yang kau cintai adalah kecantikan. Sedangkan cinta yang sejati adalah semata-mata kerana cinta, bukan kerana yang selain daripadanya.
...........................
■ Khidmah Terjemahan: Banaat Yusufi (AR01)
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.