Perkongsian Kisah tentang "Ucapan yang Baik" daripada Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani.

Ini adalah sebuah kisah yang membicarakan kepada kita bagaimana sebahagian perkataan yang kita lafazkan dalam kehidupan sehari-harian memberi kesan yang cukup besar dan ampuh ketika ia mendapatkan qabul di sisi Allah. Diceritakan bahawa ada seorang pemuda, salah seorang ahli perniagaan yang hebat di Syam telah ditimpa dengan penyakit berbahaya yang tidak ditemukan penawarnya oleh para doktor. Pemuda ini bahkan telah mengeluarkan biaya yang cukup besar untuk rawatan penyakitnya akan tetapi tiada seorang pun doktor yang berjaya mengubatinya sehinggalah dikhabarkan, jika mengikut perkiraan manusia, dia hanya menunggu hari-hari akhir dari kehidupannya. Pemuda itu telah pun berputus asa dan berdukacita hingga yang dilakukan hari demi hari, jam demi jam, hanyalah menghitung detik-detik akhir dari nafasnya. Sehinggalah pada suatu hari, beliau telah menziarahi salah seorang Sheikh yang besar di Syam, seorang alim lagi arif. Beliau pun menceritakan kisahnya kepada Sheikh ini.

Sheikh ini berkata: Wahai anakku, pergilah ke Masjid Umawi, lafazkanlah salam kepada mereka yang kau kenali atau tidak kenali serta ucapkanlah kepada setiap daripada mereka yang kau temui dengan ucapan: 'Semoga Allah memberimu afiah. (kesihatan, keselamatan, kesejahteraan).'

Pemuda itu kemudian berkata: Wahai Sheikh. Aku beritahu kepadamu bahawa aku akan mati dalam masa tedekat ini dan kau pula menyuruhku untuk pergi ke Masjid Umawi?

Sheikh kemudiannya menjawab: Wahai anakku, lakukanlah sahaja apa yang diperintahkan.

Akhirnya pemuda itu benar-benar melakukan apa yang telah diperintahkan oleh Sheikh tersebut dan melaksanakan sesuai seperti pesanan iaitu dengan memberi salam dan ucapan "Semoga Allah memberimu afiah" kepada siapa pun yang beliau temui. Beliau juga selalu mendapatkan balasan dengan ucapan yang sama "Semoga Allah juga memberimu afiah"

Akhirnya pemuda ini mulai memahami apa yang dimaksudkan oleh Sheikh tersebut. Beliau pun keluar meninggalkan Masjid Umawi dan bergegas bertemu doktor yang merawatnya untuk menjalani ujian pemeriksaan dan hasilnya sangat mengejutkan!

Bahkan doktor yang merawatnya turut terkejut melihat hasil pemeriksaan pesakitnya yang kini telah bebas 100% daripada penyakit yang dialami.

Pemuda itu lantas meninggalkan doktornya dan segera pergi bertemu Sheikh.

Beliau berkata: Wahai Sheikh apa yang telah kau lakukan kepadaku!

Sheikh itu menjawab: Wahai anakku, kau tidak tahu mungkin salah seorang yang telah kau sapa di masjid sebelum ini jika dia bersumpah dengan nama Allah , nescaya Allah akan memenuhinya. Maka pada saat dia mendoakanmu dengan afiah, Allah telah menyembuhkanmu.

Oleh itu marilah kita saling mengucapkan:

Moga Allah memberimu afiah.

Moga Allah membalut lukamu.

Moga Allah memberkahimu.

Moga Allah membahagiakanmu.

Moga Allah memberimu kurnia yang Dia redhai untukmu.

Moga Allah memuliakanmu di dunia dan akhirat.

Moga Allah menjagamu.

Moga Allah menyelamatkanmu. Sejahteralah untukmu.

Jadikanlah kalimat-kalimat ini sebagai ucapan yang berlegar dalam kamus hidup kalian sehari-harian. Gunakanlah ia pada setiap waktu dan ingatlah firman Allah swt yang bermaksud: "Dan ucapkanlah kepada manusia itu dengan (ucapan) yang baik" (Al Baqarah: 83).

Infaqkanlah apa sahaja yang ada di sisimu walau hanya pada kalimat-kalimat ucapan yang baik, nescaya akan datang kepadamu limpahan kurniaNya. Hadiahkanlah ia kepada sahabat-sahabat yang baik. Pada akhirnya, aku katakan kepada kalian: Moga Allah memberi kalian kesihatan dan afiah, menganugerahi kalian limpahan kebaikan hingga Dia redhai kalian dan menjadikan kalian daripada mereka yang berbahagia di dunia dan akhirat.

Dikhidmati terjemahannya: Unit Akademik Banaat Yusufi (AR01).

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.