Bismillahirrahmanirrahim
Tausiah 2 Maulid 12 Rabiul Awwal 1447 H Oleh Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani. (Bahagian 2)
Allah swt menamakan salah satu surah di dalam al Quran dengan nama Surah al Anbiya' yang menghimpunkan tentang kisah para Nabi Allah swt untuk kita mengambil ibrah daripada perjalanan kehidupan mereka.
Lantas para solehin mengambil jalan untuk mengingati sirah perjalanan kehidupan Rasulullah saw dengan meraikan maulid Baginda Nabi saw. Bahkan Rasulullah saw hakikatnya merayakan hari kelahiran Baginda saw dengan berpuasa.
Bersesuaian kaedah usul agama yang menyebutkan sesuatu yang baik bagi umat Islam selama mana ia tidak menyalahi syariat Allah swt maka ia adalah kebaikan di sisi Allah swt.
Jika kita meneliti ayat-ayat al Quran yang menceritakan tentang para Nabi Allah swt, kita akan mendapati mereka sentiasa meminta dan memohon kurniaan daripada Allah. Sedangkan tanpa meminta juga, Allah swt pasti akan memberikan kurniaNya kepada para kekasihNya
Misalnya Nabi Isa as pada saat Baginda memohon diturunkan hidangan daripada langit bukanlah kerana Allah swt tidak memberi kurniaan kepada Baginda as, namun diminta dengan tujuan mendapatkan keberkahan daripada Ilahi melalui kurnianNya. Di samping menjadi satu kegembiraan kerana mendapatkan kurniaan dari Sang Kekasih
Justeru jika kurniaan berbentuk hidangan makanan dari langit itu sudah dilihat sesuatu yang sangat menggembirakan bagi Nabi Isa as dan para pengikut Baginda, maka tidakkah kita merasakan selayaknya kita jauh lebih bergembira dengan Rasulullah saw yang hakikatnya adalah "hidangan ruhani" yang dianugerahkan kepada kita?
......................
Para ahbab yang dikasihi, soalan ringkas hari ini, mengapakah Baginda saw sering berpuasa pada Hari Isnin?
Para ahbab dijemput meninggalkan komentar di ruangan jawapan biiznillah, semoga sentiasa mekar kecintaan buat Baginda saw.
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.