Bismillahirrahmanirrahim
Tausiah Malam Maulid 12 Rabiul Awwal 1447 H Bersama Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani (Online Zoom Meeting)- Bahagian 1.
Kelahiran Nabi Muhammad saw diraikan sebenarnya adalah satu bentuk penghormatan ke atas Baginda saw. Di dalam maulid, dibacakan tentang sirah kehidupan Baginda saw, diperingatkan tentang akhlak dan keperibadian Baginda Nabi saw untuk meneguhkan hati kita dalam menjadikan Baginda Nabi saw sebagai qudwah bagi perjalanan kita menuju Allah swt.
Meraikan maulid hakikatnya bukanlah satu bentuk ibadah, sebaliknya sebagai satu bentuk adab kepada Allah swt ketika kita bertawassul melalui KekasihNya yang teragung, Rasulullah saw. Kemuliaan Baginda saw sangat banyak untuk dikisahkan, namun cukuplah antara bukti kemuliaan Baginda saw ketika Allah menyifati Baginda saw dengan puncak akhlak yang agung.
.وإنك لعلى خلق عظيم
"Dan sesungguhnya Engkau wahai Muhammad benar-benarlah di atas keperibadian yang agung."
Azhim ini merupakan sifat Allah lalu Allah kurniakan sifatNya ini kepada Rasulullah saw sebagai tanda kemuliaan Rasulullah saw.
Bahkan di antara kemuliaan Rasulullah saw adalah ketika Allah swt sendiri berselawat ke atas Baginda saw. Selawat dari Allah merupakan tanda turunnya rahmat kerana datangnya dari pihak yang tinggi kepada yang lebih rendah kedudukannya. Maka di saat kita berselawat ke atas Rasulullah saw itu sebenarnya merupakan salah satu bentuk tawassul (iaitu jalan) untuk kita meminta turunnya rahmat Allah swt ke atas diri kita melalui Baginda Nabi saw. Hal ini kerana setiap kali kita berselawat sekali sahaja ke atas Baginda saw, maka Allah swt membalas dengan 10x selawat ke atas kita. Apakah ada anugerah yang lebih besar ke atas kita dari turunnya rahmat Allah swt?
Bagindalah Nabi Rahmah yang disifati sebagai rahmat kepada sekalian alam, dunia dan akhirat. Terbukti jelas di dalam sebuah hadis bahawasanya setiap Nabi Allah dianugerahi dengan doa yang mustajab. Setiap dari mereka telah minta segera dikabulkan doa mereka. Namun Nabi saw menyimpannya untuk umatnya sehingga Hari Kiamat kelak.
Wahai para ahbab yang merindui Rasulullah saw, apakah kalian tahu apakah tujuannya Nabi saw menangguhkan kabulnya doa yang telah dijanjikan untuk Baginda?
Mari sama-sama berikan jawapan di ruang komen
untuk kita melihat tiada yang dapat menandingi besarnya cinta dan rahmah Nabi saw untuk kita.
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.