Petikan Kitab Qawanin Hikamul Isyraq dengan Sharh Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani dan Sheikh Abd Rahman Asy Syaghuri.

....................

"Barangsiapa yang tidak mendapatkan taubat yang hakiki, tidaklah dianggap orang yang bertaubat di sisi para Ashab At Toriqah (para ahlillah). Maka sucikanlah (segenap diri dan jiwamu dengan taubat) dan jadilah sebahagian daripada mereka yang benar-benar bertaubat. Nescaya akan dipakaikan kepadamu (dengan pakaian) : " Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya."

□ Penjelasan

• Taubat yang hakiki didapatkan apabila telah sempurnanya keihkhlasan dalam menghadap kepada Allah melalui taubat yang dikerjakan.

• Ashab At Toriqah yang dimaksudkan adalah para ahlillah yang mana ketika diilhamkan kepada mereka adanya ketidakjujuran hati murid yang bersama mereka dalam perjalanan ini, maka mereka akan bertawajjuh kepada Allah memohon agar direzekikan kejujuran pada murid ini. Bahkan mereka akan merasakan sedih kerana bimbangkan keadaan murid ini.

• Contoh kisah taubat yang ikhlas kepada Allah dapat dilihat menerusi sebuah hadis yang diambil daripada kitab Riyadus Solihin.

• Mafhumnya mengisahkan 3 orang pemuda yang terperangkap di dalam gua. Lantas setiap daripada mereka bertawassul dengan amalan kebaikan yang pernah mereka lakukan dengan sepenuh keikhlasan. Maka salah seorang daripada pemuda tersebut menceritakan bahawa beliau pernah didatangi oleh seorang sepupu perempuannya yang ketika itu dalam keadaan faqir dan kesempitan hidup untuk meminta bantuan. Namun beliau memberi syarat bahawa sepupunya itu mestilah melayaninya sebelum diberikan bantuan.

• Maka pada saat beliau ingin mengambil kesempatan atas sepupunya itu, sepupunya lantas berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah kau membuka cincin melainkan dengan haknya (isyarat kepada tidak berlakunya persetubuhan atas jalan zina). Ayat ini telah membuatkan lelaki itu bertaubat, meninggalkan hasratnya.

• Lelaki itu kemudian berdoa kepada Allah: "Ya Allah, jika apa yang ku lakukan pada saat itu adalah demi meraih redhaMu, maka berilah jalan keluar atas kesulitan yang sedang kami hadapi." Mereka pun diberi jalan keluar dari gua tersebut.

• Allah swt berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad kepada umatmu): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas atas diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah swt" (Az Zumar: 53).

Moga Allah swt rezekikan kita keikhlasan dalam perjalanan taubat ini bersandarkan kepada keluasan rahmatNya swt. Amin.

......................

■ Unit Akademik Banaat Yusufi 2025 (AR01).

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.