Petikan daripada Kitab Qawanin Hikamul Isyraq dengan Sharh Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani (21 Rejab 1446 H)

.......................

"Janganlah sekali-kali kau membangun istana amalan atas asas selain taubat dan istighfar, (jika tidak), seakan engkau membangun binaan di atas tebing yang menanti runtuh" (Hikmah 6, Qanun Taubat).

● Penjelasan

♡ Setiap amalanmu tidak dapat tidak mestilah memiliki asasnya. Asas bagi setiap amalan itu hakikatnya adalah berlepas daripada daya dan kekuatan dirimu (dalam mengerjakan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan).

♡ Kembalilah kepada Allah, Sang Pencipta yang menciptakan segala perbuatan, kembalikanlah hak penciptaan ini kepada Pemiliknya yang hakiki iaitu Allah swt.

♡ Segala amalan yang engkau kerjakan itu ibarat sebuah bangunan yang mana batu asasnya adalah taubat, kembali kepada Penguasamu iaitu Allah.

♡ Jika tidak, engkau ibarat orang yang membangun binaan di atas tebing yang rapuh, bangunanmu tidak akan kukuh bahkan menanti kehancuran dan sia-sialah segala amal yang telah engkau kerjakan.

La Hau La Wala Quwwata Illa Billah. Tiadalah daya dan kekuatan bagi kami ya Allah dalam mengerjakan ketaatan dan menjauhi kemungkaran melainkan dengan hidayah dan taufiq Mu. Moga Allah berikan kita kefahaman daripadaNya. Amin.

....................

■ Unit Akademik Banaat Yusufi 2025 (AR01)

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.