Bismillahirrahmanirrahim

Selawat Dan Salam Buatmu Duhai Kekasih Allah Swt

Selawat dan Salam buatmu duhai Kekasih Allah swt. Pada bulan kelahiranmu, kami berbahagia mengingati kehadiranmu yang menjadi asbab menyebarnya rahmat Islam dan Iman ke seluruh alam.

Mengimbau persoalan yang seringkali ditanyakan oleh Sheikhuna Youssef al Hasani buat para ahbab. Jika di hadapanmu berdiri kekasih yang sekian lama tak ditemui, maka apakah kau akan tetap di tempatmu atau berdiri bahkan menari menyambut sang kecintaan?

Ketika bergembira dengan makhluk sepertimu itu dianggap kebiasaan, lantas adakah salah untuk bergembira dengan kelahiran رحمة للعالمين, insan terbaik yang dikirim sebagai rahmah ke sekalian alam, Sayyiduna wa Habibuna Muhammad saw.

Sheikhuna juga di dalam sharh berkenaan Qasidah tentang Penjual Minyak Wangi di bumi Madinah pernah menyebutkan harumnya Madinah tidak berhajat kepada wangian kerana wujudnya Sang Pemilik Wangian yang sebenar-benarnya iaitu Rasulullah saw. Hakikat wangian itu bukanlah terhenti hanya pada batang tubuh Baginda saw sebaliknya kesempurnaan akhlak Baginda saw, itulah wangian yang hakiki.

■■■■■■■■■■

Duhai ahhab yang dikasihi, di antara sekian banyaknya akhlak Baginda saw, jika direzekikan untuk kalian mewarisi satu sahaja dari akhlak Baginda, akhlak manakah yang kalian paling inginkan?

Soalan hari ini berbentuk ekspresif. Tiada jawapan yang benar atau salah, hanya berhajat menghimpunkan nasihat-nasihat tentang akhlak terindah Rasulullah saw yang dirasakan oleh para ahbab yang mungkin pernah didapatkan daripada Sheikhuna atau pernah dilalui sepanjang perjalanan hidup dalam berhubungan kepada Baginda saw.

Mari ekspresikan jawapan di ruangan komen, mudah-mudahan memberi manfaat dan menambah kecintaan buat Baginda saw bagi sekalian yang membacanya.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.