Bismillahirrahmanirrahim
Rabiul Awal 1147H/2025M
Assalamualaikum wbt ahbab yg dikasihi. Alhamdulillah, bulan kelahiran segala cahaya telah menyapa kita, Rabiul Awwal, Rabiul Anwar menyaksikan kelahiran manusia terindah, terhimpun padanya kesempurnaan fizikal dan keelokan peribadi, menjadi rahmah yang dihadiahkan buat sekalian kewujudan ini.
Ucapan selawat dan salam yang sebanyak-banyaknya ditujukan buat junjungan mulia, Muhammad saw dengan harapan setiap lafaz selawat yang diucapkan mengikis kebejatan diri berganti hiasan akhlak Muhammadi yang hakikatnya tajalli dari akhlak Rabbani.
Sedikit mengingatkan pesanan demi pesanan dari Guru Mulia, Sheikhuna Youssef Muhieddine Rel El Bakhour Al Hasani bahawa jiwa yang hidup adalah jiwa yang dididik atas ketulusan dalam mencintai. Segala faktor untuk membuat kita jatuh cinta terhimpun indah dan sempurna pada sosok Baginda Rasulullah saw. Cinta yang dimaknakan bukanlah sekadar dakwa dakwi sebaliknya adalah yang dipersembahkan melalui ketaatan dan amalan.
Pintu kepada Allah swt ialah kekasihNya Rasulullah saw. Mana mungkin orang yang tulus cintanya melupakan yang dicintai, disibukkan dan dilalaikan daripada bibirnya menutur nama yang dicintai.
Wahai Sang Penjual Minyak Wangi di Negeri Madinah, tidakkah kau ketahui bahawa Madinah itu sedia semerbak harumnya ? Bersemadi jasad mulia di Raudhah, cahaya yang berpanjangan buat Madinatul Munawwarah.
Engkau mencari-cari wangian terbaik, jadikanlah selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah saw sebagai sebaik-baik wangian yang menemani. Wangikanlah mulutmu dengan mengucap:
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
Mari ahbab kita bersatu atas dasar mahabbah, membawa hati yang penuh rahmah, dengan selawat dan salam buat Sayyidur Rahmah, agar selamatlah kita dalam perjalanan pulang menuju Allah. Amin.
Jemput komen lafaz selawat اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم untuk membuatkan ribuan bahkan jutaan umat berselawat, meraih limpahan rahmat melalui penghulu segala rahmat saw.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.