Bismillahirrahmanirrahim
Memperbetulkan Niat Pada Apa Pun Perbuatan Yang Dilakukan.
Alhamdulillah, kita telah didatangi awal Muharram 1447 H, moga Allah swt melimpahi pada sepanjang tahun ini dengan keberkahan dan keredhaanNya.
Memetik sedikit nasihat Sheikhuna bahawa antara hal yg paling utama bagi para murid dalam perjalanan mereka kepada Allah adalah dengan memperbetulkan niat pada apa pun perbuatan yang dilakukan.
Demikianlah yang telah diperingatkan oleh Baginda Nabi saw : Hanyasanya setiap amalan itu bermula dengan niat dan setiap orang itu mendapatkan apa yang diniatkan.
Jika engkau tahu apa yang engkau inginkan, maka akan menjadi mudah segala usaha yang engkau lipatgandakan untuk mencapai tujuan.
Jika benar tujuanmu adalah Allah, maka engkau akan mengambil segala jalan yang ada untuk mendapatkan redhaNya swt dan menjauhi apa sahaja yang mengundang murkaNya swt.
Di sinilah kalimah tauhid yang engkau maknai sepenuh jiwa memainkan perananan dalam perjalananmu sebagai seorang muridullah, orang yang meninginkan Allah.
لا اله الا الله
yakni tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah juga membawa makna
لا محبوب بحق إلا الله
Tiadalah Kekasih yang sejati yang layak untuk dicintai dengan sebenar-benar kecintaan melainkan swt.
Jika Allah adalah kekasihMu maka cintamu kepadaNya hanyalah semata-mata kerana cinta bukan kerana apa-apa maslahat yang engkau ingin dapatkan dari cinta.
Di situlah inti seluruh kebahagiaan kerana engkau bergantung dan bersandar kepada sumber segala kebahagiaan iaitu Allah swt.
صحح النية ونم في البرية.
Pada akhirnya, benarkanlah niatmu dan tidurlah di mana pun dalam keadaan tenang.
Maka marilah kita berdoa dengan doa para 'arifin yang memaknai kalimah tauhid ini dengan segenap kecintaan dalam jiwa mereka.
الهي انت مقصودي ورضاك مطلوبي.
Wahai Rabbku, Engkaulah tujuanku dan hanya RedhaMu yang menjadi keinginanku.
Allahu'alam.
Disusun penulisannya: Unit Akademik Banaat Yusufi 2025 (AR01)
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.