Bismillahirrahmanirrahim
Iedul Adha: Himpunan Nasihat Guru Mulia
Memaknai Iedul Adha Himpunan Nasihat Guru Mulia, Fadhilat Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani Hafizahullah.
........................
Memaknai Iedul Adha Himpunan Nasihat Guru Mulia, Fadhilat Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani Hafizahullah.
Pada setiap kali hadirnya Iedul Adha, kita tidak akan dapat melupakan sejarah ini. Sebuah kisah yang menzahirkan kepada kita tentang sebuah pengabdian yang tiada tolok bandingan, sebuah kisah cinta dan pengorbanan yang telah ditonjolkan oleh dua peribadi mulia para kekasih Allah swt iaitu Baginda Nabi Ibrahim as dan anaknya, Nabi Ismail as.
Seperti yang Sheikhuna (Guru kami) selalu ulangi, manusia yang paling dikasihi oleh Allah swt itu adalah para Nabi dan RasulNya. Cuba berikan satu sahaja nama daripada para Nabi yang tidak diuji oleh Allah swt? Bermula dari Nabi Adam as sehinggalah kepada penghulu para anbiya' iaitu Baginda Rasulullah saw, seluruh kehidupan mereka adalah ujian. Namun, dalam keadaan begitu, tiada seorang pun antara mereka yang pernah bertanya "Kenapa Ya Allah Kau memperlakukan aku sebagai Kekasihmu dengan perlakuan begini dan begitu?" Sebaliknya mereka menerima dengan sebenar-benar keredhaan, ketundukan dan penyerahan kepada Allah swt.
"إن عذبوني أو رحموني فالعبد عبد في كل حال"
"Jika Engkau mengazabku atau berbelas kasih kepadaku, maka hamba itu tetaplah hamba pada setiap keadaan".
Inilah erti penghambaan, redha pada apa jua keinginan Kekasih yang dicintai pada apa yang Dia inginkan, bukan menurut apa yang nafsu inginkan.
Ternyata yang membuat sekian besarnya kesedihan dan kesakitan yang dirasakan pada jiwa ini tidak lain tidak bukan adalah ketika kita bertuhankan nafsu dan keakuan diri. سيد نفوس / مادام نفوس. Ana, (Aku, Egoistik) itulah hijab yang terbesar antara dirimu dan Allah swt.
"انا تورث العنا"
Ana (Keakuan) itu mewariskan kepenatan, kelelahan, dan kesengsaraan.
Tanpa sedar, kita telah terjerumus dalam syirik yang tersembunyi ketika kita cuba mengambil sifat Aku yang selayaknya hanyalah milik Allah swt.
" إني أنا الله لا إله إلا أنا فاعبدني وأقم الصلاة لذكري"
"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Aku, maka sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu"
perkataan لذكري untuk mengingatiKu.
Kata Sheikhuna : اي لمحبتي Untuk mencintaiKu.
Di sinilah yang kita dapat fahami bahawa tiada pengabdian tanpa adanya mahabbah. Tiada keredhaan sebagai seorang hamba tanpa adanya cinta kepada Dia yang selayaknya dicintai.
Sebab itulah pada kalimah tauhid yang kita lafazkan iaitu لا إله إلا الله juga membawa maksud:
لا معبود بحق إلا الله dan لا محبوب بحق إلا الله
"Tiada yang layak untuk menjadi tempat bagi kita mengabdikan diri melainkan kepada Allah."
"Tiada juga Kekasih yang selayaknya dicintai dengan sebenar-benar kecintaan melainkan Allah swt."
Maka ubudiyyah (penghambaan) dan mahabbah (rasa cinta) itu tidak dapat dipisahkan kerana orang hanya dapat mengabdikan diri dengan sebenar-benar pengabdian ketika dirinya memiliki mahabbah kepada Dia yang dijadikan tempat mengabdi diri.
Lalu, apakah mahabbah itu dizahirkan melalui perbuatan atau sekadar kata-kata?
Jika seseorang mendakwa cinta kepada kita, maka adakah kita akan terus percaya kepada ucapan cintanya atau kita inginkan tindakan yang menjadi bukti rasa cinta? Jika kita sekadar percaya dengan kata-kata cinta, maka kitalah orang yang bodoh tak mengenal makna cinta. Jika kita melihat orang yang mendakwa cinta kepada kita, tetapi masih memandang yang selain kita, maka ambillah kasut dan pukul sahaja kepalanya.
"اسمع كلامك يعجبني. اشوف افعالك يتعجب."
"Aku dengarkan bicaramu membuatku kagum. Aku lihat perbuatanmu membuat ku terpinga-pinga sendiri.'
Cinta itu adalah dengan perbuatan, bukan ucapan.
Sebab itu di dalam al Quran Allah swt berfirman: وقل اعملوا . Dan katakanlah (wahai Muhammad): beramallah.
Allah swt tidak mengatakan: وقل قولوا . Dan katakanlah (wahai Muhammad): Berbicaralah.
Amalan. Ini yang menjadi bukti kejujuran dalam dakwaan atau sekadar dusta atas nama cinta.
"Bagaimana kau mendakwa mencintai Laila sedang tidurmu masih sahaja nyenyak di malam hari. Bahkan kau masih terhijab dari si Laila"
Maka yang sangat banyak berdusta atas kata cinta itu adalah para penyajak dan penyair. Hal ini kerana sebesar mana pun rasa cinta itu cuba untuk diterjemahkan, tetap sahaja tiada bahasa lisan yang mampu untuk mengungkapkan rasa cinta.
Kejujuran dalam cinta, lawannya adalah nifaq, kepura-puraan. Cukup-cukuplah berdusta atas nama cinta jika masih banyak persoalan "kenapa".
Adakah kau pernah melihat seorang pencinta itu akan banyak mempersoal kekasihnya dengan seribu satu persoalan kenapa. Mustahil. Jika kamus cinta ini tidak diterima dalam berhubungan sesama manusia, maka adakah layak untuk kau membantah kepada Allah dengan persoalan demi persoalan atas setiap suratan takdirNya?
"تدعي المحبة وليس قي قلبك حبة."
"Kau mendakwa mencintai tetapi dalam hatimu belum tentu ada walau sebesar biji benih cinta."
Berbalik kisah Sayyiduna Ibrahim dan Sayyiduna Ismail as, mereka ini adalah antara dua peribadi yang mentamsilkan kepada kita tentang erti penghambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah. Penyerahan dan ketundukan tanpa ada persoalan.
Bahkan Nabi Ibrahim as sebelumnya telah diuji dengan pelbagai rentetan ujian yang menzahirkan betapa jujurnya Baginda dalam penghambaan kepada Allah swt.
Bermula ketika Baginda as dicampakkan ke dalam api oleh Namrud dan tenteranya yang zalim, Nabi Ibrahim as sama sekali tidak mengangkat tangan bertanya kenapa kepada Allah. Bahkan malaikat Jibril as datang menyampaikan salam daripada Allah swt dan meminta Baginda untuk berdoa kepada Allah. Lalu apakah jawapan yang diberi oleh Nabi Ibrahim as?
" علمه بحالي يغني عن سؤالي"
"PengetahuanNya (Allah swt) tentangku telah mencukupi bagiku daripada permintaanKu (keperluan meminta-minta kepadaNya)."
Inilah jawapan yang berisi ketundukan dan penyerahan sebagai seorang hamba yang merasakan dirinya layak untuk diperlakukan sebagaimana pun yang diinginkan oleh Pemiliknya.
Akhirnya api yang menjulang membakar dijadikan ibarat taman yang indah dan menyejukkan bagi Baginda as. Berkat sebuah penyerahan dan ketundukan.
Ujian selanjutnya bagi Nabi Ibrahim as dan isterinya Saidatina Siti Sarah yang telah berusia lanjut namun masih tidak dikurniakan anak. Di sini satu lagi saksi akan pengabdian seorang isteri kepada suami serta cinta yang dibangun atas cinta kerana Allah. Sayyidatuna Siti Sarah telah meminta suaminya untuk menikahi seorang wanita muda untuk mendapatkan zuriat yang diharapkan nanti menjadi pewaris kepada risalah agama Allah swt. Jika berlaku hal sebegini dalam kehidupan kita hari ini, kita mungkin menganggap Sayyidatuna Siti Sarah sebagai wanita yang gila dengan permintaan untuk suaminya menikah lagi. Namun sekali lagi inilah bentuk pengabdian yang penuh cinta bukan sekadar rasa kasih atas dasar al hawa. Akhirnya, Allah juga menghadiahkan Sayyidatuna Siti Sarah dengan seorang anak yang juga merupakan Nabi Allah, Ishaq as kerana kejujurannya kepada Allah.
Sekali lagi, ujian yang selanjutnya untuk Nabi Ibrahim as dan isteri barunya, Sayyidatuna Siti Hajar apabila diminta untuk Baginda as meninggalkan isterinya dan anak yang bakal dilahirkan di sebuah pergunungan padang pasir yang tiada padanya air atau tumbuh-tumbuhan, bahkan tiada berpenghuni.
Di sini kita melihat bagaimana keyakinan dalam pengabdian Nabi Ibrahim as kepada Allah swt yang menyerahkan urusan isteri dan anaknya ini kepada Allah. Di sini sekali lagi terzahir pengabdian yang indah melalui Sayyidatuna Siti Hajar ketika beliau berkata:
"Adakah Allah yang memerintahkanmu (Ibrahim) untuk melakukan ini?"
"Ya." (Jawab Nabi Ibrahim, ringkas)
" Jika begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kami."
Akhirnya, dari Sayyidatuna Siti Hajar dan Nabi Ismail as, wujudnya mata air zam-zam, air yang terbaik yang diminum ummat Islam sehingga ke hari ini.
Inilah bahasa cinta seorang hamba, adakah kita memahaminya dengan mata hati kita?
Selanjutnya ketika si anak, Nabi Ismail as yang sekian lama ditinggalkan mula menginjak dewasa, sekali lagi Allah swt ingin menguji ketulusan cinta Nabi Ibrahim as. Anak yang selama-lama ini dinantikan diminta untuk disembelih dengan tangan Baginda as sendiri!
Baginda Nabi Ibrahim as berkata:
"إني ارى في المنام أن أذبحك"
" Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu"
Jika dinilai dengan logik akal kita hari ini, maka kita akan menganggap Nabi Ibrahim as sangat kejam. Bahkan mungkin dituduh gila kerana membuat tindakan hanya berpandukan mimpi. Tetapi inilah yang harus kita fahami bahawa mimpi para Nabi itu adalah haq.
Lalu apa kata Nabi Ismail as? Apakah Nabi Ismail menuduh ayahnya hilang akal? Tidur tidak berwudhu' hingga didatangi syaitan? Atau dituduh ayahnya sebagai penjenayah atau orang gila? Bahkan sebaliknya!
Ketika sang ayah, Nabi Ibrahim as begitu besar kejujuran dan ketulusannya dalam penghambaan kepada Allah, maka Allah swt menganugerahi Baginda dengan seorang anak yang juga jujur dan tulus dalam menghambakan dirinya kepada Allah.
"قال يا أبت افعل ما تؤمر. ستجدني إن شاء الله من الصابرين"
"Wahai ayah kesayanganku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Kelak engkau akan mendapatiku dengan izin Allah tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar."
Allah. Cubalah kita menggambarkan diri kita berada pada hari kejadian, nescaya kita akan menangisi diri kita atas kelalaian kita dalam penghambaan kepada Allah.
Akhirnya, ketika keduanya telah berserah mutlak kepada Allah, sebilah pisau yang tajam sudah pun mula diletakkan di atas tengkuk Nabi Ismail as, seketika itu juga datangnya malaikat Jibril as membawa khabar daripada Allah swt.
"وناداه أن يا ابراهيم. قد صدقت الرؤيا. إنا كذلك نجزي المحسنين."
"Wahai Ibrahim, telah kau benarkan mimpimu. Sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan"
Lalu dikirimkan seekor kibasy dari syurga sebagai tebusan buat Nabi Ismail as.
" وفدينه بذبح عظيم"
"Dan Kami tebusnya (Ismail) dengan sembelihan (kibasy) yang besar."
Kenapa kibasy yang besar? Hal ini untuk menunjukkan hadiah yang datang dari Allah swt itu sangatlah besar kerana ia datang dari Allah Yang Maha Agung.
Hakikatnya, tiada yang namanya cinta tanpa pengorbanan. Setiap sesuatu itu ada harganya dan harga dari sebuah cinta adalah pengorbanan. Jika ingin meminang kepada wanita yang penuh keelokan maka bayarlah maharnya. Demikianlah ketika meinginkan indahnya cinta dari Allah swt maka bersiap sedialah untuk menempuhi liku-liku jalan cinta.
Ucaplah selamat tinggal buat kehidupan dunia yang selama ini kau jalani, kerana kini cintaNya sudah menjadi kehidupanmu yang baru. Bukan bererti kau tidak lagi beramal untuk duniamu, namun jadikan dunia itu di tanganmu, bukan lagi digenggam di hatimu. Bukan namanya cinta jika "engkau yang merasa" engkau telah melepaskan dunia. Sebaliknya ketika hatimu mampu bertawajjuh (menghadap) kepadaNya pada apa jua keadaan yang dihadapkan kepadamu di dunia, itulah kejujuran cinta.
Tidak lagi diizinkan hati ini untuk ditempati selainNya itulah cinta yang hakiki. Cinta yang terkhusus hanya buat Dia Yang Maha Esa, yang menjadi tempat seluruh makhluk bergantung harap dan hajat, tiada beranak dan diperanakkan, dan tiada suatu pun yang setara dengaNya.
Inilah hakikat Iedul Adha, sebuah pengabdian, sebuah cinta yang penuh kejujuran, dan ketulusan dalam pegorbanan.
Baginda Rasulullah saw sendiri melakukan ibadah Qurban pada Iedul Adha untuk mengingati sunnah yang telah dilakukan oleh Bapa Segala Nabi, Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.
........................
Allahu'alam. Inilah sedikit sebanyak rakaman-rakaman ingatan yang dapat al faqirah kongsikan di sepanjang trip Sheikhuna kalini. Jika ingin ditulis semuanya, terlalu panjang untuk dimuatkan dalam sebuah penulisan. Jika ada kesilapan, mohon diperbetulkan.
Semoga sahaja penulisan ini memberi sedikit makna kepada kita terutama diri hamba yang menulis untuk menyambut Iedul Adha yang bakal tiba dengan penuh ketulusan dalam cinta dan pengorbanan serta penghambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah swt.
Saya akhiri dengan doa yang Sheikhuna selalu bacakan untuk kita:
"Semoga Allah memberi kita kefahaman daripadaNya, tentangNya. " Amin.
......................
Jumaat, 30 Mei 2025, 04.22 am
Hamba yang sentiasa mengharapkan hidayah dan taufiq dari Allah swt, al Faqirah Kautsarul Jannah.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.