Bismillahirrahmanirrahim

Petikan Kitab Al Isra' Wal Mikraj Fadhilatush Sheikh Mutawalli Sya'rawi Rahimahullah.

Bismilllahirrahmanirrahim.

Para ahbabku, sedikit renungan untuk penghayatan Isra' dan Mikraj yang telah dituliskan Fadhilatus Sheikh Mutawalli Sya'rawi rahimahullah yang sempat al Faqirah khidmati terjemahannya, mudah-mudahan memberi manfaat pada jiwa-jiwa yang merindukan Allah dan RasulNya.

Ketika kita menelusuri sirah tentang perjalanan dakwah Rasulullah saw, kita mendapati dakwah yang dilakukan oleh Baginda saw adalah secara berperingkat. Allah swt telah menjadikan pelbagai asbab untuk kejayaan dakwah Baginda saw walaupun Dia sama sekali tidak berhajat kepada apa jua asbab untuk memenangkan agamaNya. Akan tetapi, sudah menjadi sunnatullah dalam kehidupan manusia yang diminta untuk mengambil asbab/berusaha sebelum mencapai satu-satu tujuan, maka dicerminkan keperluan mengambil asbab pada qudwah ummat ini sendiri iaitu Baginda Rasulullah saw

Maka pada peringkat awal dakwah Baginda saw, Allah swt telah mengirimkan dua insan yang memainkan peranan sangat penting dalam melindungi perjalanan dakwah ini. Pertamanya adalah perlindungan dari ancaman kuffar di luar rumah yang Baginda saw dapatkan daripada bapa saudaranya, Abu Talib. Kedua merupakan perlindungan daripada dalam rumah Baginda saw sendiri dalam bentuk ketenangan dan kerehatan jiwa yang Baginda saw temukan daripada isterinya, Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah r.a

Pada saat dua insan ini berada dekat dengan Baginda saw, urusan dakwah yang walaupun dirasakan sangat berat menjadi sedikit ringan dengan perlindungan dan ketenangan yang Baginda saw temukan pada kedua-dua insan ini. Akan tetapi takdir Allah berkehendak untuk menjemput kembali isteri Baginda saw pada tahun yang sama dengan pemergian bapa saudara Baginda saw, Abu Talib.

Rasulullah saw merasakan kehilangan akan ketenangan yang selama ini Baginda saw dapatkan dari kehangatan seorang isteri, bahkan kehilangan juga perlindungan luar yang Baginda saw dapatkan melalui Abu Talib. Baginda saw meyakini bahawa Allah sama sekali tidak akan pernah membiarkan Baginda saw, namun Baginda saw hanya menggunakan akalnya serta mata hatinya untuk mengambil asbab di sisi manusiawi untuk melindungi dakwah ini

Di situlah akhirnya Baginda saw telah memutuskan untuk ke Toif dengan harapan Baginda saw menemukan penolong untuk menghadapi kekerasan kaum kuffar Makkah. Akan tetapi, Baginda saw justeru menemukan hal yang tidak sesuai dengan harapan Baginda saw. Di Toif, Baginda saw sekali lagi disakiti dengan perkataan bahkan perbuatan yang dahsyat hingga mengalir darah mulia dari kedua tumit Baginda saw.

Lantas di sinilah Baginda saw akhirnya mengadukan segala perihal dirinya kepada Allah swt setelah didapati hilangnya segala asbab yang berkaitan dengan sisi manusiawi.

Intinya, Allah swt ingin kita fahami bahawa jika masih ada ruang untuk kita mengambil asbab (berusaha) untuk mencapai tujuan, maka hendaklah kita bersungguh-sungguh dan memaksimumkan usaha untuk sampai pada tujuan. Akan tetapi jika segala hal yang diusahakan tidak lagi nampak sinarnya bahkan semakin menyulitkan, maka di sanalah kita sebagai hamba tunduk merendah dengan penuh pengharapan kepada Allah swt agar diberi jalan keluar atas usaha yang dikerjakan.

Baginda saw akhirnya mengangkat tangan berdoa kepada Allah yang intinya mengisahkan tentang aduan kepada Allah atas paksi keimanan dan keyakinan bahawasanya di sana ada redhaNya yang bakal ditemukan. Bahkan Baginda saw juga menyatakan seluruh asbab yang telah diusahakan untuk kejayaan dakwah, akan tetapi yang Baginda saw temukan tidak lain hanyalah permusuhan.

Allah swt Maha Mendengarkan rintihan kekasihNya ini , maka di sinilah Allah swt menjemput Baginda saw ke hadrahNya melalui Isra' Mikraj untuk mengubati duka Baginda saw sekaligus menggantikan kekerasan yang Baginda dapatkan daripada penduduk bumi dengan kehangatan daripada penduduk langit. Bahkan diperlihatkan kepada Baginda saw akan tanda-tanda kekuasaanNya swt serta rahsiaNya hingga dianugerahi lagi Baginda saw ini dengan satu jiwa dan semangat yang lebih teguh demi perjalanan dakwah.

Hakikatnya, dari awal lagi Allah swt boleh sahaja menurunkan bantuanNya tanpa memerlukan apa jua asbab. Akan tetapi Allah swt ingin mengajarkan kepada umat ini melalui RasulNya saw agar tidak meninggalkan asbab dan menadahkan tangannya ke langit memohon pertolongan.

Maka berlakulah yang dikatakan malam yang penuh keagungan, Malam Isra' wal Mikraj selepas kekerasan yang Baginda saw dapatkan daripada penduduk bumi pada saat Baginda kehilangan dua insan yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

Allah swt berkehendak untuk menjadikan perjalanan yang penuh ketinggian ini hingga terlihat teguhlah tanda kemuliaan Baginda saw dan Dialah yang Maha Menggantikan segala yang hilang. Sambutan hangat yang diberi penduduk langit ternyata menyapu bersih semua derita dan lelah yang dirasakan dari perlakuan penduduk bumi sekaligus sebagai "recharge" buat diri Baginda saw pada lapangan dakwah yang baru dengan izin RabbNya swt.

Allahu'alam. Moga kita dapat memaknai keagungan perjalanan Isra' Mikraj, merasakan hangatnya pelukan kasih sayang Allah pada saat kita merasakan kehilangan yang lain di dunia ini agar tetaplah keimanan dan kemuliaan bagi diri kita sebagai hamba Allah swt dan umat Rasulullah saw. Amin. Amin. Amin.

....................

■ Dikhidmati terjemahannya Unit Akademik Banaat Yusufi (AR01).

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.