Bismillahirrahmanirrahim
Pengisian Maulid 12 Rabiul Awwal Oleh Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani (Bahagian 3)
Allah swt berfirman maksudNya:
" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan carilah wasilah (jalan) untuk menuju kepadaNya.. " (al Maidah: 35)
Ketika membahas tentang wasilah di sini, maka ia boleh diertikan kepada dua pengertian:
1) Amalan-amalan soleh sebagai jalan untuk menuju kepada Allah
2) Para Anbiya' dan orang-orang soleh, para kekasih Allah swt yang menjadi asbab untuk menuju kepadaNya swt.
Oleh itu, ketika disebutkan tentang konsep tawassul kepada Rasulullah saw, ia adalah bertepatan dengan wasilah yang telah difirmankan oleh Allah swt. Tawassul bererti kita memohon pentunjuk melalui tauladan yang telah Baginda Nabi saw sampaikan daripada syariat Allah swt untuk menuju kepada Allah.
Maka tawassul bukanlah ibadah atau kita menyembah kepada Rasulullah saw tetapi satu bentuk adab dan penghormatan kepada Allah dan KekasihNya Rasulullah saw. Sepertimana pada saat diperintahkan para malaikat untuk sujud kepada Adam as, ia bukanlah satu bentuk penyembahan sebaliknya sebagai tanda penghormatan kepada ciptaan Allah swt.
Direkodkan dalam sebuah hadis mafhumnya ketika Nabi Adam as bertaubat kepada Allah, Baginda telah bertawassul dengan Rasulullah saw.
" Ya Allah, dengan hak Muhammad, maka ampunilah aku".
Allah swt berfirman:
"Bagaimana engkau mengetahui tentang Muhammad padahal Aku belum menciptakanNya (menzahirkan Baginda ke alam kewujudan)?"
"Pada saat Kau menciptakan dan meniupkan ruhku, maka aku mengangkat kepalaku ke langit dan aku dapati di arasy tertulisnya kalimah لا اله الا الله محمد رسول الله. Maka di saat itu aku mengetahui bahawa dirinya merupakan makhluk yang paling kau cintai."
Allah swt kemudian menjawab:
"Benar, dialah makhluk yang paling Aku cintai. Jika tidak kerana Muhammad, maka tidaklah aku menciptakanmu."
Nabi Adam as telah bertawassul dengan Rasulullah saw sebelum Baginda dizahirkan ke
alam kewujudan ini. Bukankah lebih utama bagi kita wahai ummat Muhammad untuk bertawassul dengan Baginda saw?
Direkodkan dalam Taurat bahawa Nabi Musa as meminta untuk menjadi Ummat Muhammad, tidakkah kita selayaknya berbangga menjadi Ummat Muhammad saw?
Meraikan maulid, kelahiran Nabi saw dianggap bid'ah. Sedangkan Abu Lahab, yang namanya termaktub di dalam al Quran mendapatkan celaan dari Allah swt, diringankan azabnya pada setiap Hari Isnin kerana pernah sekali sahaja bergembira atas kelahiran Rasulullah saw!
Jika seorang kafir mendapatkan kurniaan sebegini hanya asbab sekali sahaja meraikan lahirnya Rasulullah saw dalam hidupnya, lantas bagaimana dengan orang yang beriman, yang hidupnya bergembira dan meraikan kelahiran Rasulullah saw berkali-kali dalam hidupnya. Tidakkah rahmat yang dilimpahi ke atasnya jauh lebih besar?
Fahamilah wahai orang-orang yang masih lalai dari memahami makna kecintaan.
......................
Duhai ahbab yang budiman, apakah yang telah dilakukan oleh Abu Lahab di saat kelahiran Rasulullah saw sehingga azabnya diringankan pada setiap Hari Isnin?
Mari penuhkan ruang komen dengan jawapan mudah-mudahan menambah keteguhan hati kita bersama Rasulullah saw.
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.