Bismillahirrahmanirrahim
Panduan Ringkas Khalwah
Panduan Ringkas Khalwah- Petikan Kitab Toriq Ilallah oleh Fadhilah Sheikh Ali Jum'ah Hafizahullah.
..................
○ Takrif Khalwah
Suatu bentuk latihan dan tarbiyyah untuk berlepas diri daripada manusia, menyucikan jiwa dari perhiasan dunia dan fitnah-fitnahnya agar dapat bermuhasabah dan kembalinya diri bertaubat daripada kesalahan, untuk berfikir dan merenung ciptaan Allah swt, mengagungkan serta membesarkanNya, merasai kemanisan dalam ibadah, mengosongkan hati dari segala sesuatu selain Allah, sehingga jernihlah ruh, bercahayalah batin, dan bebasnya jiwa dari segala bentuk penyakit dan maksiat.
○ Dalil Pensyariatannya
1. Antaranya yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dalam munajatnya kepada Allah swt dan mengasingkan diri seketika daripada kaumnya. Direkodkan kisah Baginda as dalam Surah Maryam: 48
2. Begitu juga yang dilakukan oleh Saidina Musa di Bukit Tursina selama 40 malam dan dirakamkan al Quran kisah Baginda saw dalam Surah Al A'raaf: 142
3. Demikian juga kisah Sayyidah Maryam yang mengasingkan diri dalam mihrabnya untuk ibadah sehingga Allah melimpahinya dengan rezeki dari sisiNya yang akan menimbulkan kekaguman pada siapa pun yang melihatnya. (Maryam: 16-17)
4. Bahkan diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawasanya Baginda saw dijadikan pada diri Baginda saw itu rasa cinta pada khalwah yang membuatkan Baginda duduk bersendiri beribadah di Gua Hira' sebelum menerima wahyu.
5. Disebutkan di dalam hadis mafhumnya 7 golongan yang akan mendapatkan naungan Allah pada Hari Akhirat kelak di mana tiada naungan selain naunganNya di mana salah seorangnya ialah pemuda yang duduk bersendirian mengingati Allah hingga mengalirlah air matanya.
○ Khalwah Jalan Peningkatan Ruhani Para Sufiyyah
Oleh itu para sufiyyah menjadikan khalwah sebagai jalan untuk melatih peningkatan pada ruhaninya dan diberikan pembukaan pada jiwanya. Namun dengan syarat tidaklah masuknya murid ke dalam khalwah melainkan dengan izin dan bimbingan Gurunya agar diajarkan kepada murid ini ketika tidak tahu, diingatkan ketika terlalai, disemangatiw apabila merasa lemah, dan dibantu untuk menolak bisikan-bisikan syaitan serta nafsu agar khalwah itu membuahkan hasil pada diri murid.
Sheikh akan memberi izin untuk murid masuk ke dalam khalwah ketika melihat adanya kemampuan bagi murid untuk melaluinya. Hal ini kerana ada keadaan-keadaan yang boleh dilalui murid misalnya berpeluh yang luar biasa, suhu badan yang meningkat, dan lain-lain. Maka di sinilah pentingnya izin dan pertalian ruhani bersama Sheikh agar dibantu untuk menghadapi keadaan-keadaan yang berlaku sepanjang khalwah.
○ Tempoh Khalwah
Tempoh khalwah bergantung kepada keadaan. Paling sedikit adalah 1 jam. Ada yang melaluinya sehari, dua hari atau tiga hari bergantung kepada panduan daripada Sheikhnya.
○ Adab-Adab Syar'ie semasa Khalwah
1. Niat yang ikhlas. Tiada tujuan masuknya khalwah melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah dan membersih jiwa daripada penyakit-penyakitnya.
2. Cukup dengan sedikit makan, minum, dan tidur. Semakin bebasnya diri daripada keterikatan kepada hal-hal syahwah, maka semakin bercahayalah batinnya.
3. Mengosongkan hati daripada segala sesuatu selain Allah melalui ibadah yang dikerjakan.
4. Melazimi diri sentiasa dalam keadaan berwudhu'. Jika tidur dan terbangun, berwudhu'lah kembali.
5. Berpaling sepenuhnya daripada segala kesibukan dunia.
6. Memakai pakaian berwarna putih kerana pada warna putih adanya rahsia untuk seseorang itu memfokuskan fikirannya kepada tujuan.
# Sunnah para auliya' terdahulu, mereka akan meletakkan satu tin yang berisi kekacang atau buah kering untuk mengalas perut bagi mengelakkan berlebihan dalam makan.
○ Adab-Adab Berpandukan Pengalaman Mereka yang telah Melalui Khalwah
1. Elakkan duduk bersandar di dinding agar lahirnya fokus dan tanda seriusnya dalam ibadah. Melainkan jika ada hal-hal yang darurat (sakit, hamil dan sebagainya).
2. Elakkan bercakap pada hal-hal yang tidak penting.
○ Hasil Khalwah
Mudah-mudahan khalwah ini memberi peningkatan pada ruhani dalam makrifatullah, bertambah yakin dalam tiap ibadah yang dikerjakan, tiada lagi ragu pada apa pun dari Baginda Rasulullah saw atau pada toriq yang sedang ditempuh sehingga lahirnya jiwa yang redha tunduk berserah kepada Allah.
....................
■ Dikhidmati Terjemahannya: Unit Akademik Banaat Yusufi 2025 (AR01).
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.