Bismillahirrahmanirrahim
Orang Yang Saling Berkasih Sayang Itu Dicintai Oleh Al Rahman
Memetik sebuah hadis yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah saw.
الراحمون يرحمهم الرحمن . ارحموا اهل الأرض يرحمكم من في السماء
"Orang yang saling berkasih sayang itu dicintai oleh al Rahman. Kasihilah penduduk bumi, nescaya kalian akan dikasihi yang di langit."
Guru mulia, Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour al Hasani pernah menyebutkan bahawa salah satu rukun bagi para muridin di dalam perjalanan menuju Allah swt ialah Mahabbah- sifat cinta dan kasih sayang. Bahkan salah satu tujuan daripada Madrasah Tasawwuf itu adalah untuk menghidupkan hati dengan mahabbah dan rahmat sesama makhluk.
Sheikhuna juga menjelaskan bahawa mahabbah ini terzahir pada keperibadian Baginda Rasulullah saw. Pada saat berlakunya "Fathu Makkah" yakni Penaklukan Kota Makkah, dengan segala kekuatan bala tentera Muslimin ketika itu, Baginda saw boleh sahaja membalas perlakuan buruk orang kafir Quraisy terhadap Baginda saw dan para sahabat sebelumnya.
Namun, hanya satu ucapan Baginda saw kepada seluruh penduduk Makkah.
"Moga Allah swt mengampuniku dan kalian. Pergilah kerana kalian telah merdeka"
Dengan cinta, Islam tersebar. Dengan rahmat, Islam membawa perdamaian, namun bagi hati yang memaknai Islam sebagai ketundukan kepada Rabbul 'alamin, melalui petunjuk Sayyiduna wa Habibuna Muhammad saw.
Ya Allah, rezekikan kami akhlak mahabbah Baginda Rasulullah saw agar benar-benarlah kami merasakan kesejahteraan hidup bersama Islam. Amin
■■■■■■■■■■■■■■■
Dua nama Allah diambil dari sifat ini. Bahkan Rasulullah saw disifati dengan sifat yang sama. Apakah sifat tersebut duhai ahbab?
Mari penuhkan ruang komen dengan jawapan soalan ini berserta selawat untuk kita bersama menelusuri keperibadian Baginda Nabi saw.
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.