Bismillahirrahmanirrahim

Lapangkanlah Rezeki Dan Urusanmu Dengan Istighfar.

Dengarkan Ayat CintaNya (14 Rejab 1446 H)

Lapangkanlah Rezeki dan Urusanmu dengan Istighfar.

.........................

﴿فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا﴾ [نوح: 10- 12]

Maksud: Maka aku (Nuh as) berkata: Mohonlah ampun kepada Rabb kalian. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimi hujan lebat mencurah-curah ke atas kalian, melimpahi kalian dengan anugerah harta dan anak-anak, menjadikan untuk kalian ladang-ladang dan sungai-sungai.

..........................

■ Penjelasan:

1. Ayat ini sebenarnya merupakan saranan dakwah Nabi Nuh as kepada kaumnya untuk memohon keampunan kepada Allah swt atas kekufuran yang merupakan maksiat terbesar kepada Allah agar turunlah ke atas mereka himpunan kebaikan.

2. Allah swt disifati dengan Ghaffar yang menunjukkan kepada keampunanNya yang berterusan kepada hambaNya. Dialah yang menutupi aib hambaNya dengan tabir belas kasihNya.

3. Nescaya dikirimi hujan yang lebat ke atas negeri mereka yang akan mengairi ladang tanaman dan menjadi sumber minuman kepada mereka serta binatang ternakan.

4. Lantas dilimpahi pula dengan anugerah harta dan anak-anak kerana ini merupakan sebahagian daripada tuntutan utama yang sangat diinginkan dalam kehidupan manusia di dunia.

5. Kesimpulannya, seluruh anugerah yang disebutkan ini adalah isyarat di mana dengan sebab istighfar, akan bertambahlah keberkahan dan dibukakan pintu-pintu kebaikan. Allahu'alam.

Moga Allah swt beri kita faham dariNya tentangNya. Amin.

.....................

■ Unit Akademik Banaat Yusufi 2025 (AR01)

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.