Bismillahirrahmanirrahim
Akhirilah Usiamu Dengan Istighfar
Dengarkan Ayat CintaNya (13 Rejab 1446 H)
Akhirilah usiamu dengan Istighfar sepertimana istighfarnya Rasulullah saw.
.....................
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا (3)
Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu serta mohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat. (An Nasr: 3)
......................
Penjelasan:
1. Ayat ini adalah ayat terakhir dari Surah An Nasr yang mengkhabarkan kemenangan umat Islam setelah berlakunya al Fath, penaklukan Kota Makkah.
2. Rasulullah saw telah memerintahkan para muslimin ketika itu untuk bersyukur kepada Allah, dengan bertasbih, bertahmid, dan beristighfar.
3. Ia menunjukkan isyarat bahawa Islam telah mencapai kemenangan maka digambarkan dengan puji dan syukur kepada Allah melalui tasbih dan tahmid serta istighfar yang diajarkan oleh Baginda saw kepada umat.
4. Terbukti kemenangan Islam dengan tersebar luasnya agama ini, berbondongnya umat yang memeluk agama Islam yang mana tidak pernah berlaku pada mana-mana agama yang lain.
5. Selain itu, al mufassirin juga menyebutkan bahawa ayat ini menjadi isyarat akan dekatnya ajal Baginda Rasulullah saw. Maka Baginda saw ingin mengajarkan untuk menutupi segala hal yang baik itu dengan tetap istighfar, misalnya seperti ibadah solat, haji dll yang diakhiri dengan istighfar.
6. Istighfar yang kita ketahui adalah tanda kembalinya hamba kepada Allah. Maka itulah isyarat yang ingin Baginda saw sampaikan bahawasanya ajal Baginda saw telah pun hampir, lantas Baginda bersiap sedia untuk mengakhiri usia Baginda dengan sebaik-baik perkara iaitu istighfar, kembali kepada Allah.
Moga Allah swt beri kita faham dariNya, tentangNya. Amin.
Nota Seterusnya
Tiada nota seterusnya.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.