Bismillahirrahmanirrahim

Universiti Hati: Rahsia Ruh Yang Terhijab

Tajuk: Universiti Hati: Rahsia Ruh yang Terhijab

Oleh: Sheikhuna Youssef Muhieddine Rek El Bakhour Al Hasani

Tarikh: 08.02.2026 (Bahagian 3)

Rujukan: Daurah Kitab Tasawwuf

Tempat: Pondok Ar Raudhah, Jempol

Sumber: facebook

https://www.facebook.com/share/p/1bih3PL2hP/

Allah membuat engkau mampu menyaksikan jasadmu dengan kedua matamu, namun Dia menyembunyikan ruhmu daripada dilihat sedangkan ia wujud dalam dirimu. Mengapakah agaknya Allah SWT berbuat demikian? Ia satu persoalan yang harus kita teliti.

Hal ini kerana kita sentiasa seperti anak kecil yang tidak pernah mencapai umur baligh untuk memahami hakikat ini. Kita masih hidup bergelumang material dan kebendaan; kita tidak keluar daripadanya untuk memahami apa yang diertikan sebagai ketulusan dalam mencintai.

Aku berikan satu contoh praktikal. Jika ada seorang anak kecil yang masih tidak tahu membezakan antara emas, batu, atau besi, adakah engkau akan memberikannya emas untuk dijadikan permainan? Tentu tidak. Engkau akan menyimpan emas tersebut di bank atau di peti yang berkunci. Kita tidak akan memberikan emas kepada anak ini melainkan setelah dia mencapai umur akil baligh dan mampu membezakan nilai antara emas dan besi.

Sama seperti seorang anak kecil—adakah kita akan memberikannya seringgit atau seribu ringgit untuk dibelanjakan? Hanya setelah dia meningkat dewasa, barulah kita berikannya ribuan ringgit untuk perniagaan atau menjana pendapatan. Apakah maknanya? Ertinya, kita tidak akan memberikan sesuatu yang berharga kepada seseorang yang tidak mengerti nilainya.

Disebabkan itulah Allah telah menghijab (melindungi) kita daripada melihat ruh yang ada dalam diri kita sendiri. Allah menyembunyikannya kerana kejahilan kita akan nilai ruh tersebut, sekaligus supaya kita tidak menjadikan ruh ini sebagai permainan kepada jiwa-jiwa kita yang sakit. Tidak juga kita jadikan ia barang dagangan yang boleh bertambah atau berkurang nilainya.

Apakah lagi nilainya seorang insan jika dia tidak lagi mempunyai ruh? Apabila ruh telah keluar daripada tubuh, apa lagi nilai jasad? Hanya sebatas tanah yang lambat-laun akan dijauhi. Maka yang membuat engkau bernilai sebagai manusia adalah ruhmu, bukan jasadmu.

Kenapa jika ada yang meninggal dunia, kita disuruh menyegerakan pengebumian? Supaya kita tidak mencium bau busuk daripada jasad yang boleh mengganggu kita. Maka jasad akan kembali ke tanah tempat asalnya, sementara ruh akan kembali ke sisi Tuan-Nya, iaitu Allah SWT.

...........................

Khidmah Terjemahan: Banaat Yusufi (AR01)

Lampiran Nota

1 fail
Nota Imej
656693519_1540275678099907_8867045401436865022_n
656693519_1540275678099907_8867045401436865022_n.jpg

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.