Bismillahirrahmanirrahim

Tausiah Akhir Ramadan & Ucapan Idul Fitri 1444 H

Repost Tausiah Akhir Ramadan & Ucapan Idul Fitri 1444 H

Oleh: Sheikh Youssef Muhieddine Rek El Bakhour al Hasani Hafizahullah

(Rujukan: Kuliah Page Banaat Yusufi, 20 April 2023)

Sumber: https://www.facebook.com/share/p/1AvCJpYjdz/

Duhai para ahbabku, hanya berbaki beberapa detik sebelum Ramadan meninggalkan kita. Dengan sepenuh harapan kepada al-Maula, mari kita pohon agar Dia sudi menerima ibadah puasa, qiyam, serta seluruh amal ketaatan kita, berkat kemuliaan Baginda Nabi SAW dan kedudukan Baginda di sisi Allah Jalla wa 'Ala.

Ramadan adalah bulan Allah yang dipenuhi kebaikan dan keberkahan. Namun, terlalu banyak kekurangan diri yang membuatkan kita lalai merebut ganjaran-Nya. Moga Allah SWT mengurniakan maghfirah, 'afiah, pemeliharaan, serta kemaafan-Nya, dan tidak mempersoalkan segala kekurangan kita dalam melaksanakan perintah-Nya di bulan yang mulia ini.

Seringkali kita mengucapkan salam perpisahan kepada Ramadan, walhal hakikatnya Ramadan bukan untuk ditinggalkan. Jiwa Ramadan dan akhlaknya wajib dibawa bersama dalam kehidupan seterusnya. Akhlak yang dibina adalah akhlak Rabbani; jiwa yang dibentuk adalah jiwa yang mewarisi amal daripada Madrasah Muhammadiah SAW.

Ramadan adalah bekalan untuk menghadapi bulan-bulan mendatang, khususnya bulan-bulan haram seperti Zulhijjah. Allah SWT berfirman:

"Bawalah bekalan kalian, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal."

Barangsiapa yang tidak belajar daripada Ramadan, Rasulullah SWT, dan Kitabullah, maka dia tidak akan pernah belajar daripada perkara yang lain.

Orang yang mengenal Allah (Makrifah) tidak akan membelakangkan amal, kerana kewajipan ilmu adalah untuk diamalkan. Jika tidak, ilmu itu akan menjadi hujah yang membantahmu di akhirat kelak.

Jangan bicara apa yang tidak diamalkan. Jangan menyuruh hal yang kalian sendiri tidak lakukan.

Ingatlah perhimpunan agung di hadapan Allah kelak. Dia akan bertanya tentang niat puasa, amalan, dan sedekah kita. Sucikanlah niatmu agar Allah memelihara hatimu. Orang yang bahagia adalah mereka yang bersiap sedia untuk pertemuan dengan Penciptanya.

■ Pada detik-detik akhir ini, penuhilah waktu dengan:

Ketaatan & Qiyamullail berterusan

Sedekah yang utama: Memberi ubat kepada yang sakit, membalut luka hati yang hancur, dan membantu golongan yang lemah.

Puasa Maknawi: Sebagaimana kalian berpuasa di bulan Ramadan, teruskan "berpuasa" daripada perkara yang haram, menjaga lidah daripada mencalar maruah orang lain, dan sentiasa bersangka baik sesama manusia.

Sibukkanlah dirimu dengan memperbaiki aib sendiri, bukan mencari kekurangan orang lain. Di akhirat kelak, Allah bertanya tentang amalanmu, bukan amalan orang lain.

Seseorang yang sibuk dengan urusan orang lain sehingga melupakan dirinya sendiri adalah orang yang kehilangan akal dan berisiko menjadi muflis di akhirat. Perbaikilah akhlak demi pertemuan dengan Rabb yang Mulia dan demi mendapatkan syafaat Baginda SAW.

Kita memohon agar Allah menjadikan kita hamba yang diterima puasanya, qiyamnya, dan sedekahnya. Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang dibebaskan daripada seksa api neraka berkat Nabi SAW dan para auliya’-Nya yang soleh.

Ied Mubarak. Moga seluruh tahun kalian berada dalam kebaikan. Amin.

....................

Dikhidmati terjemahannya oleh: Banaat Yusufi (AR01)

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.