Bismillahirrahmanirrahim

Pesanan Ringkas Sheikhuna Menjelang Ramadan.

Pesanan Ringkas Sheikhuna menjelang Ramadan.

Taubat nasuha kepada Allah- Saling memaafkan dan melepaskan hak sesama makhluk - Bersihkanlah peribadi dari akhlak yang tercela- Berjalanlah atas modal mahabbah.

..........................

Assalamualaikum ahbabuna khusus para akhawat yang dikasihi, mudah-mudahan sentiasa dalam naungan rahmat Allah swt. Ramadan Kareem. Alhamdulillah, kita telah memasuki Syahrullah, bulan untuk Allah swt. Bulan yang dijanjikan dengan rahmat dan keampunan serta kurniaan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Bulan yang sebenarnya satu pujukan untuk mengajak kita kembali mengabdi diri dengan tulus dan murni kepada Sang Kekasih yang esa iaitu Allah swt.

Sheikhuna Youssef Muhieddine Al Bakhour al Hasani telah pun memberi pesanan demi pesanan untuk kita menyambut bulan Allah swt ini dengan taubat yang nasuha, menyucikan peribadi dari akhlak yang tercela saling memaafi atas dasar mahabbah, harta yang paling mahal nilainya untuk umat Islam di mana semuanya hanyalah dengan tujuan yang satu iaitu lillahi taa'la, semata-mata demi Al Haqq. Demikianlah seorang Guru, Murabbi, dan Mursyid itu tidak akan mengajar para muridnya melainkan semuanya hanyalah tentang Allah, Allah, dan Allah.

Kita dituntut untuk membuang sifat-sifat yang keji agar tidak terhijab dari Sang Kekasih kerana nafsu dan keakuan diri Kita diingatkan untuk saling memaafi agar dilepaskan hak daripada orang yang disakiti dan melepaskan hak kepada siapa pun yang pernah menyakiti demi ketenangan hati kita sendiri.

Pada akhirnya ini bertujuan agar hati yang selayaknya hanya memahat nama Ilahi tidak dibebani dengan selain Dia yang selayaknya dicintai. Bukankah Sheikhuna selalu mengingatkan bahawa hati ini tak mungkin mampu menampung dua cinta dalam satu waktu yang sama. Maka disuruh kita melepaskan semua selainNya agar yang berbaki hanya Dia al Baaqi yang kekal abadi.

Sekadar peringatan untuk diri ini melalui kalam nasihat taujihat dan irsyad yang tidak jemu-jemu disampaikan oleh Guru mulia yang sangat dihormati, semoga Allah panjangkan usia beliau dalam kebaikan untuk kita menumpang ruhani yang telah mengenal Allah dan membimbing kita mendapatkan ruhani yang mengenal kepada Allah jua.

Salam kasih dan salam kemaafan buat semua akhawat dari saya sendiri selaku wakil akhawat yang telah diamanahkan . Mohon dimaafkan mana yang terkurang dan mohon didoakan pada tiap ruang dan kesempatan. Semoga Allah memberi taufiq untuk kita beramal dengan jiwa hamba yang menyaksikan Rabbnya dan menerima semua amal kebaikan yang kita kerjakan di sepanjang bulan ini. Amin. Amin. Amin.

♡ Ukhtukunna Fillah, Kautsarul Jannah.

1 Mac 2025 /1 Ramadan 1446 H

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.