Bismillahirrahmanirrahim

Risalah Puasa – Bulan Mujahadah

RUJUKAN

  1. Al-Quran & Hadis Rasulullah SAW

  2. Abu Usamah Mohd Hanapiah Hussin. 2022. Fiqh Puasa (Edisi Daurah). Kuala Terengganu: Ikon Syabab Resources

PENGENALAN

Bulan Ramadan dianggap sebagai madrasah yang sangat penting bagi umat Islam. Dalam konteks ini, Ramadan bukan hanya bulan yang penuh dengan ibadah, tetapi juga sebuah peluang untuk mendidik diri, memperbaiki akhlak, dan memperteguh hubungan dengan Allah. Al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif berkata: “Ketahuilah bahawa pada diri seorang mukmin itu terhimpun pada dirinya dua jenis jihad di dalam bulan Ramadan. Pertama adalah jihad pada waktu siang dengan berpuasa. Manakala kedua adalah jihad pada waktu malam dengan melakukan qiyam (solat tarawih). Maka sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan menunaikan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, maka sesungguhnya akan diberi ganjaran pahala kepadanya dengan kadar yang tidak terhitung besarnya.”

PENGERTIAN

Puasa الصيام dalam bahasa Arab bermaksud meninggalkan. Manakala maksud di sisi ahli Feqah ialah meninggalkan (menahan) اإلمساك diri melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa bemula daripada terbit fajar hingga terbenamnya matahari dan disertai dengan niat.

Perjalanan Salik dan ibadah puasa memiliki hubungan yang sangat erat. Tujuan murni seorang Salik ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Untuk sampai kepada tujuan tersebut, maka seseorang harus mampu mengendalikan segala hawa nafsunya sehingga seluruh jiwa dan raganya menjadi bersih atau tazkiyah al-nafs. Puasa menjadi alat untuk menguji kekuatan fizikal dan kesucian ruhani manusia, dengan cara pengosongan diri baik yang bersifat material seperti makan dan minum, dan non-material seperti emosi, dan hawa nafsu, sehingga dirinya benar-benar sedar dan dekat kepada Allah yang Maha Suci. Syeikh Jalaluddin ar-Rumi mengibaratkan puasa seorang sufi seperti seruling yang kosong, apabila ditiup akan mengeluarkan bunyi yang jernih dan merdu.”

Sabda Nabi SAW :

إِذَا كَانَتْ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلّٰهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ وَذٰلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ

Ertinya: "Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan! Terimalah. Wahai orang yang mengharapkan kejahatan! Berhentilah, dan (yang ikhlas) kerana Allah SWT dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan". (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

PENGERTIAN RAMADAN MENURUT SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI

رَمَضَانُ

Huruf Ra - Ridhwanullah (Redha Allah)

Huruf Mim - Mahabatullah (Cinta kasih Allah)

Huruf Dhadh - Dhamanullah (Jaminan Allah)

Huruf Alif - Alfatullah (Kelembutan / Keramahan Allah)

Huruf Nun - Nurullah (Cahaya Allah).

Syekh Abdul Qadir Al-Jailani berkata, Ramadan ibarat hati di dalam dada. Ia seperti kehadiran para nabi di antara sekian makhluk. Ibarat Makkah bagi negara Arab, di mana Dajjal tak diizinkan menginjakkan kakinya di sana. Syaitan terbelenggu, dan para Nabi memberikan syafaat bagi para pelaku kemaksiatan. Bulan Ramadan menjadi bulan limpahan dan karamah bagi para wali dan orang yang beriman.

“Bulan Ramadan menjadi syafaat bagi mereka yang berpuasa. Pada bulan itu, Qalbu manusia dihiasi dengan cahaya makrifat dan keimanan; dilimpahi kilauan bacaan Al-Quran. Maka, siapakah kalian yang tak meraih ampunan Tuhan di bulan Ramadan, lantas di bulan apa lagi kalian akan diampuni? Mohonlah ampunan, duhai hamba Allah, sebelum pintu keampunan tertutup. Mintalah ampunan kepada-Nya sebelum habis masa pengampunan.

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sebagai petunjuk bagi manusia yang beriman dengan keesaan Allah dan menghadapkan pandangannya yang membawa ke arah tingkatan yakin (martabat al-yaqin).

Al-Quran menjadi bukti penyaksian dan tanda-tanda “petunjuk” yang begitu nyata bagi orang yang beriman. Petunjuk ini akan menyampaikan mereka yang telah tersingkap dari rahsia-rahsia keesaan (Tauhid Makrifat) menuju kepada tingkatan Ainul Yaqin. Fungsi Alquran ialah sebagai pembeda (al-Furqan). Ia menjadi pembeda antara al-Haqq (kebenaran sejati) yaitu Allah Yang Maha wujud dan al-bathil (ketiadaan) dari seluruh wujud alam semesta selain Allah itu sendiri. Pembeda (alFurqan) ini akan membawa orang yang beriman kepada tingkatan Haqq al-Yaqin.

Mari kita lihat keadaan salaf dalam mengagungkan Al-Quran ketika bulan Ramadhan, semoga dengannya dapat membangkitkan semangat kita dalam beramal soleh:

  • Ibrahim al-Nakha’i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan Al-Quran dalam bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/51]

  • Adalah Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali. Manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276]

  • Daripada Mujahid Rahimahullah bahawasanya beliau mengkhatamkan AlQuran pada bulan Ramadhan sebanyak sekali pada setiap malam. [Lihat AlTibyan li al-Nawawi, hlm. 74]

  • Telah berkata al-Rabe’ bin Sulaiman Rahimahullah bahawa al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadhan di luar bacaan solat. [Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 10/36] • Al-Imam Malik Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada Al-Quran.

  • Al-Imam Al-Zuhri Rahimahullah apabila tiba bulan Ramadhan mengatakan: “Bulan ini adalah bulan tilawah (membaca Al-Quran) dan memberi orang makan”.

Begitulah keadaannya para salaf apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka mengagungkannya dengan membaca serta mengkhatamkannya.

TINGKATAN PUASA

Ibadah puasa mempunyai beberapa tingkatan dalam membandingkan kualiti puasa seseorang. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin mengklasifikasikan tingkatan atau darjat orang yang berpuasa kepada tiga bahagian.

  1. Puasa awam (shaum al-'awam) iaitu puasa hanya menahan perut daripada makan dan minum serta mengawal syahwat daripada tuntutan nafsu sahaja sepanjang tempoh berpuasa di siang hari. Lazimnya, puasa ini adalah dilaksanakan oleh golongan awam atau orang yang baru mula berpuasa yang sekadar menahan diri daripada makan, minum dan menjaga kemaluan ketika sedang dalam tempoh berpuasa.

    Puasa awam dilihat hanya menekankan aspek menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa secara jasmani sahaja, tidak memperhatikan aspek lain seperti batin dan fikiran. Golongan yang berada pada tingkat puasa awam berpotensi melakukan dosa kerana hanya berpuasa secara jasmani, tetapi tidak dapat menahan pandangan, lisan dan anggota tubuh yang lain dalam perkara makruh. Contohnya berpuasa, tetapi mengisi waktu dengan menonton tayangan yang tidak penting dan bermanfaat atau perkara lainnya.

  2. Puasa khusus (shawm al-khusus) iaitu bukan sekadar menahan lapar, dahaga dan syahwat, bahkan turut menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan serta seluruh anggota tubuh daripada melakukan perkara makruh, dosa dan maksiat. Lazimnya, puasa ini dilaksanakan oleh golongan orang soleh yang berada pada tingkatan atau darjat kedua. Contohnya, golongan ini menundukkan pandangan daripada perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah SWT.

    Seterusnya, golongan ini akan berusaha menjaga percakapan daripada berbohong, mengumpat, mencela, memaki dan sebagainya. Sebaliknya, golongan ini selalu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

    "Puasa adalah perisai, maka orang berpuasa janganlah berbuat kotor dan jangan pula berbuat perkara bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah aku sedang berpuasa." (Riwayat al-Bukhari)

    Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

    "Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya." (Riwayat al-Bukhari)

    Puasa dianggap perisai orang beriman melawan godaan syaitan. Ketika berpuasa, seseorang akan menahan diri daripada perkara yang bersifat syahwat dunia yang merupakan secara terang-terangan menentang syaitan. Oleh itu puasa dapat dikatakan sebagai perisai kerana dapat membelenggu syaitan yang menggoda melalui syahwat. Terdapat enam cara atau kaedah untuk mencapai tingkatan puasa khusus.

    1. Menundukkan pandangan dan menahannya daripada meluaskannya kepada setiap perkara yang dicela dan dibenci serta kepada setiap perkara yang menyibukkan hati seseorang dan melalaikannya daripada mengingati Allah ‘Azza wa Jalla. Terdapat riwayat daripada Huzaifah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

      النَّظَرُ سَهْمٌ مَسْمُومٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيسَ فَمَنْ تَرَكَهُ مِنْ مَخَافَةِ اللّٰهِ عَزَّ وَجَلَّ أَبْدَلَهُ اللّٰهُ إِيمَانًا يَجِدُ حَلَاوَتَهُ فِي قَلْبِهِ

      Maksudnya: “Pandangan merupakan satu panah beracun daripada panahpanah Iblis. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, pasti Allah ‘Azza wa Jalla akan mengurniakannya keimanan, yang dia merasai kemanisannya dalam hatinya.”

    2. Memelihara lisan daripada berdusta, mengumpat, mengadu domba, bercakap kotor, bermusuh dan berdebat. Sebaliknya, mengambil sikap berdiam dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah yakni mengingati-Nya dan membaca al-Quran. Terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

      قَالَ رَسُولُ اللّٰهِ ﷺ: الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللّٰهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ قَالَ اللّٰهُ عَزَّ وَجَلَّ الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا

      Maksudnya: “Puasa itu adalah perisai. Oleh itu, janganlah berkata keji dan jangan juga bertelingkah laku (seperti orang) jahil. Sekiranya ada seseorang membawanya berbunuhan atau mencelanya, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa.’ – sebanyak dua kali. – Demi Dia (Allah) yang jiwaku berada di tanganNya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi.

      (Firman Allah SWT): ‘Dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya disebabkan kerana Aku, dan Aku akan mengganjarinya, yang mana satu kebaikan (akan dibalas) dengan sepuluh kali (ganda) sepertinya.’”

    3. Menjaga pendengaran daripada setiap perkara yang dibenci kerana setiap perkara yang Allah haramkan untuk diucapkan, Dia turut mengharamkannya untuk didengar. Oleh sebab itu, Allah SWT menyamakan orang yang mendengar perkara dusta dengan orang yang memakan perkara haram. Firman Allah SWT:

      سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

      Maksudnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).”

    4. Menahan anggota badan daripada melakukan dosa, seperti tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang dibenci, serta menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka puasa.

    5. Tidak memperbanyakkan makan ketika berbuka. Dalam erti kata lain, memenuhi perut dengan makanan secara melampau. Bagaimana puasa dapat memberikan faedah bagi mengalahkan musuh Allah syaitan dan mengawal syahwat sekiranya orang yang berpuasa mengisi kembali ketika berbuka perkara yang telah berlalu daripadanya waktu siang harinya? Boleh jadi, jenisjenis makanan semakin bertambah sehinggakan sudah menjadi kebiasaan untuk disimpan pelbagai jenis makanan untuk bulan Ramadan.

      Suatu yang sudah dimaklumi, bahawa tujuan puasa adalah untuk mengosongkan perut dan mengekang hawa nafsu supaya diri seseorang menjadi kuat bagi mencapai ketaqwaan. Sekiranya perut yang sudah kosong sejak siang hari hingga malam, sehingga keinginannya (untuk mengisi kembali dengan makanan) membuak-buak. Lalu perut yang kosong itu diisi dan dikenyangkan dengan pelbagai makanan yang lazat, pasti keseronokan nafsu bertambah dan kekuatannya meningkat berganda-ganda.

    6. Hati seseorang selepas berbuka puasa hendaklah dalam keadaan bergantung harap (raja’). Hal ini kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima, lalu dia termasuk dalam kalangan muqarrabin (dekat dengan Tuhan), atau puasanya ditolak, lalu dia termasuk dalam kalangan orang yang dimurkai. Bukan itu sahaja, seseorang itu hendaklah berkeadaan demikian setiap kali selesai mengerjakan sesuatu ibadat.

      Diriwayatkan daripada al-Hasan bin Abu al-Hasan al-Basri bahawa beliau berjalan di hadapan suatu kaum yang sedang bergembira pada hari raya. Beliau menyebutkan, Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan bulan Ramadhan sebagai medan untuk manusia berlumba dalam mengerjakan ketaatan kepadaNya. Oleh itu, ada dalam kalangan mereka yang mendahului, lalu mereka menang, dan ada juga dalam kalangan mereka yang tertinggal, lalu mereka kalah.

  3. Puasa paling khusus (shawm khusus al-khusus) iaitu puasa yang menjaga hati dan fikiran daripada mengingati perkara keduniaan, sebaliknya fokus dan menumpukan sepenuh hati hanya kepada Allah SWT dan Hari Akhirat serta memikirkan dunia hanya untuk tuntutan agama sahaja. Lazimnya, puasa ini merupakan puasa golongan para Nabi, Siddiqin dan muqarrabin. Piawaian terbatal puasa bagi golongan ini sangat tinggi iaitu apabila terlintas di dalam hati dan fikiran tentang selain Allah SWT seperti cenderung memikirkan harta dan kekayaan dunia.

    Bahkan, menurut golongan ini puasa dapat berkurang nilai dan dianggap batal sekiranya di dalam hati tersirat keraguan walaupun sedikit sahaja atas kekuasaan Allah SWT. Demikianlah tingkatan atau darjat orang berpuasa yang boleh dijadikan panduan atau parameter untuk setiap masyarakat Islam untuk mengukur, menilai dan muhasabah terhadap tahap serta pencapaian puasa selama ini.

    Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa tingkatan puasa setiap orang adalah berbeza-beza. Ada yang sekadar mendapat lapar dan dahaga, sekalipun puasanya itu sah dan diterima. Malah, ada juga yang mencapai tingkatan tertinggi dalam puasa, yakni puasa itu bukan sekadar diterima tetapi menjadikannya lebih baik dan semakin dekat dengan Allah SWT, sekali gus memenuhi tujuan puasa itu sendiri sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Quran iaitu memperoleh ketaqwaan. Firman Allah SWT:

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

    Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

NASIHAT RAMADAN AYAHANDA WALID AL-MALIK

Rukun Islam yang ketiga ialah Puasa di bulan Ramadan. Mengapakah turutan bagi ibadah Puasa diletakkan selepas ibadah Solat?

Solat merupakan perjalanan Mikraj seorang hamba kepada Allah. Mikraj ialah tumpuan hati menyaksikan Allah. Syuhud melihat alam kesemuanya hanya menceritakan tentang Allah semata-mata. Nyata wujud Allah pada penciptaan makhluk. Diri insan merupakan saksi kepada kewujudan Allah SWT. Segala sifat kesempurnaan dalam kejadian insan menunjuk kepada Tuhan yang Maha Sempurna. Hakikat Ibadah Solat ialah menyaksikan kesempurnaan Allah. Hakikat Ibadah Solat menyaksikan sifat Jalal keagungan Allah. Ibadah Solat menghubungkan hamba dengan Allah SWT.

Datang setelahnya perintah puasa untuk memelihara kebersihan qalbu. Merasai penderitaan dan kelaparan saudara kita.

Hablu minAllah (Solat),

Hablu minannas (Puasa).

Setiap kesusahan dan ujian di dalam hidup kita merupakan jalan untuk Allah memberi darjat yang tinggi kepada kita. Sepertimana kita diperintah untuk merasai kelaparan dan kesusahan pada siang bulan Ramadan, adalah untuk Allah SWT memberikan ganjaran yang besar untuk kita. Cahaya Makrifat, Cahaya Tauhid akan mudah masuk di dalam diri mereka yg diuji dengan kesusahan dan keperitan hidup. Petanda hati seseorang itu disinari cahaya Makrifat, kesabaran ia terhadap musibah bertukar kepada syukur ia mendapat musibah daripada Allah SWT. Para kekasih Allah merasa senang dengan musibah yang melanda yang membawa dirinya dekat dengan Allah SWT.

Masuklah bulan Ramadan ini dengan penuh kegembiraan dan keazaman untuk menyakiti nafsu kita supaya kita dekat dengan Allah SWT. Mujahadah dengan menahan keinginan badaniah, tidak makan, kurang tidur, bangun malam, menjaga lisan dilakukan hanya kerana Allah. Semuanya untukmu ya Allah. Saidina Abu Bakar : Diriku sanggup diuji dengan kesakitan & musibah tetapi aku tidak sanggup untuk di uji berada dalam kenikmatan.

Semakin kuat kita cuba mengawal nafsu kita, maka senakin tinggilah darjat kita disisi Allah. Makin kita jatuhkan nafsu ammarah, maka semakin tinggi tingkatan Rohani kita disisi Allah. Kita akan mengalami perasaan yang berbeza pada Rohani kita di dalam bulan Ramadan. Kerana kita tidak lagi menurut kehendah nafsu dan keinginan jasadiah. Maka Rohani akan merasai kelazatan dalam hubungan dengan Allah.

Selawat merupakan jalan yg selamat. Ia membawa insan untuk kasih dan mengikuti Nabi Muhammad SAW zahir dan batin. Sentiasa berada dalam sifat hamba yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW. Cinta kepada Nabi SAW akan melahirkan cahaya. Dengan cahaya itu hati kita akan memandang kesemua yg berada di alam ini hak Allah SWT.

Semoga Allah SWT dengan rahmat dari-Nya menjadikan Ramadan kita pada tahun ini bermakna. Dibersihkan jasad, emosi dan Qalbu kita dengan ibadah-ibadah yang kita laksanakan hanya kerana Allah SWT. Antara doa para Salaf Soleh ketika berada dalam bulan Ramadan :

اللّٰهُمَّ سَلِّمْنِي إِلَى رَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.