Bismillahirrahmanirrahim

Pengenal & Misi Kehidupan

Sumber : Unit Dakwah Yayasan Ta’lim (AA)

Memohon Keteguhan Hati di atas Kebenaran

Allah SWT berfirman:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Ertinya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami setelah Engkau beri hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.” [Ali Imran: 8].

  • Ini adalah doa yang terdapat di dalam al-Quran yang seyogianya dihafal oleh semua umat muslim, doa yang hendaknya tidak pernah luput daripada lafaz lidah seseorang Muslim tatkala sujud dan tatkala mengangkat tangan berdoa di keheningan malam.

  • Mengapa demikian?

    Kerana seorang muslim tidak pernah tahu hatinya berubah menjadi apa pada keesokan hari. Sekuat mana pun ibadah seseorang, sehebat mana pun ilmu seseorang tentang agama, hatta seseorang yang paling bertakwa dalam kalangan manusia pun dia tidak akan dapat menjamin hidayah masih miliknya pada masa-masa yang mendatang. Dan juga seseorang itu tidak tahu akan pengakhiran hidupnya, adakah di atas Agama Allah atau sebaliknya?

  • Hanya kepada Allah kita memohon keteguhan di atas agamaNya.

  • Oleh itu, Allah ajarkan hamba-hambaNya untuk selalu memohon keteguhan di atas agama sehingga maut datang menyapa.

  • Di antara doa yang diajarkan kepada kita untuk kita membacanya dalam rangka memohon keteguhan hati di atas kebenaran adalah seperti doa yang diajarkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam:

    يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

    Ertinya: “Wahai Yang Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamaMu.” [Ahmad no. 24604, Sahih].

  • Doa ini sepertimana yang dikatakan oleh Aisyah Ummul Mukminin radhiyallahu ‘anha, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam selalu membaca doa ini. Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam walaupun sudah dijanjikan Syurga untuknya, namun Baginda tetap selalu berdoa meminta keteguhan hati di atas agama. Maka kita adalah lebih patut untuk selalu berdoa meminta keteguhan di atas agama sehinggalah maut menjemput kita.

  • Demikian, Semoga Allah tetapkan hati-hati kita di atas kebenaran.

Ciri-ciri Orang Beriman yang akan Mewarisi Syurga Firdaus

Allah Ta'ala berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ ١ ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ ٢ وَٱلَّذِينَ هُمْ عَنِ ٱللَّغْوِ مُعْرِضُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ ٤ وَٱلَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَـٰفِظُونَ ٥ إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ٦ فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ ٧ وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ ٨ وَٱلَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمْ يُحَافِظُونَ ٩ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْوَٰرِثُونَ ١٠ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ ١١ وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةٍۢ مِّن طِينٍۢ ١٢

Ertinya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya, dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang menunaikan zakat, dan mereka yang menjaga kehormatan dirinya. Kecuali kepada isteri-isteri mereka atau hamba sahaya mereka; maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, barang siapa yang mengingini selain daripada itu, merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang sentiasa memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” [Al-Mu’minun: 1–12]

Syaikh Abdurrahman as-Sa’di rahimahullah berkata tentang ayat ini:

“Ayat-ayat ini adalah isyarat daripada Allah yang menyebutkan ciri-ciri hamba-hamba-Nya yang beriman, dengan menyebutkan kejayaan mereka serta kebahagiaan mereka, dan dengan (amalan) apa yang menyampaikan mereka kepada perkara tersebut. Dan di dalam kandungan ayat ini juga terdapat galakan dan dorongan untuk meniru sifat-sifat mereka.” [Al-Mu’minun: 1–12]

(Sumber: Tafsir as-Sa'di)

Lihatlah Alam Semesta Ciptaan Allah, Padanya terdapat Tanda-tanda Kekuasaan Allah.

Allah Ta'ala berfirman:

أَفَلَمْ يَنظُرُوٓا۟ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَـٰهَا وَزَيَّنَّـٰهَا وَمَا لَهَا مِن فُرُوجٍۢ ٦ وَٱلْأَرْضَ مَدَدْنَـٰهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَٰسِىَ وَأَنۢبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍۭ بَهِيجٍۢ ٧ تَبْصِرَةًۭ وَذِكْرَىٰ لِكُلِّ عَبْدٍۢ مُّنِيبٍۢ ٨

Ertinya: “Maka tidakkah mereka memerhatikan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami membinanya serta Kami menghiasinya (dengan bintang), dan tiada retakan sedikitpun. Dan juga bumi ini, Kami bentangkannya sebagai hamparan, dan Kami ciptakan padanya gunung-ganang yang berdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang subur? Untuk menjadi perhatian dan peringatan kepada setiap hamba Allah yang mahu kembali kepada-Nya.” [Qaf: 6–8]

  • Lihatlah dan renungkanlah alam semesta ciptaan Allah ini, sungguh dengan kita merenungi alam ciptaan Allah ini pasti akan menimbulkan rasa pengagungan kita kepada Allah serta akan meningkatkan lagi iman kita bahawa Hari Kebangkitan itu benar adanya, seperti mana tumbuhan yang telah mati Allah hidupkan semula. Sungguh, itu adalah sangat mudah bagi Allah.

  • Mudah-mudahan dengan kita merenungi alam ciptaan Allah ini meningkatkan lagi iman kita dan seterusnya membuatkan kita untuk selalu kembali kepada Allah.

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.