Bismillahirrahmanirrahim

Hadis Nabi

Sumber :

  1. Unit Dakwah Yayasan Ta’lim (HUD)

  2. Unit Dakwah Yayasan Ta’lim (AA)

Dua Nikmat yang Selalu Disia-siakan Manusia

Rasulullah SAW bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Ertinya: “Dua nikmat banyak manusia yang tertipu dengannya, nikmat kesihatan dan nikmat waktu lapang.”

(Al-Bukhari no.6412)

Kebanyakan kita pada zaman ini tertipu dengan dua nikmat yang disebutkan dalam hadis ini, nikmat sihatnya badan dan nikmat banyaknya waktu luang. Kita tertipu dengan dua nikmat ini kerana berapa banyak daripada kita yang mempunyai kesihatan badan yang baik, mempunyai waktu luang yang banyak, namun kedua-dua nikmat ini kita tidak mempergunakannya untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Kita tidak mempergunakannya untuk memperbanyakkan amalan sunat, seperti zikir, membaca al-Quran, menziarahi orang yang sakit, solat malam. Kita banyak mempergunakannya pada perkara yang kurang manfaat, bahkan ramai daripada kita yang mempergunakannya untuk bermaksiat.

Allahul mustaan. Hanya kepada Allah kita mengadu.

Kita tertipu dengan dua nikmat ini.

Sedangkan kita tahu, di antara soalan yang akan diajukan kepada kita pada hari kiamat nanti adalah berkaitan pada perkara apa masa kita itu diluangkan. Sepertimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

يُسْأَلُ الْعَبْدُ عَنْ شَبَابِهِ فِيمَ أَبْلَاهُ، وَعَنْ عُمْرِهِ فِيمَ أَفْنَاهُ.

Ertinya: “akan ditanya (seorang hamba itu) berkenaan waktu mudanya pada apa dia lusuhkannya, tentang umurnya pada apa dia menghabiskannya.”

(Sahih al-Jami’ no. 7299, Hasan)

Maka seorang mukmin itu seharusnya berusaha sebaik mungkin untuk menggunakan dua nikmat ini dengan menyibukkan dirinya beribadah, beramal soleh, memperbanyakkan solat sunat dan puasa sunat, melakukan amar makruf nahi munkar, serta amalan-amalan yang seumpamanya, agar ianya bermanfaat baginya di dunia dan di akhirat.

Syaikh Bin Baz rahimahullah menerangkan bahawa orang yang tertipu ada dua golongan, katanya:

Ertinya: “Dan bentuk kelalaian (akan dua nikmat ini) sama ada ianya boleh membawa kepada yang haram atau boleh membawa kepada perkara yang tidak memudaratkannya. Jika seseorang itu tidak menggunakan (dua nikmat ini) pada perkara maksiat dan menunaikan perkara yang wajib, maka tidak memudaratkannya kelalaian (akan dua nikmat ini). Namun jika kesihatan badannya digunakan untuk bermaksiat kepada Allah, maka kelalaiannya (akan dua nikmat ini) memudaratkannya, atau jika waktu luangnya digunakan untuk bermaksiat kepada Allah, maka kelalaiannya (akan dua nikmat ini) memudaratkannya.”

(Nur ‘ala al-Darb)

Mudah-mudahan Allah memberi taufik kepada kita semua untuk kita mampu menggunakan kedua-dua nikmat ini pada perkara yang diredai Allah.

Jagalah Allah Maka Dia Akan Menjagamu

Wasiat penting Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam kepada sahabat yang mulia Ibn Abbas di dalam menjaga ajaran Allah dan meminta pertolongan dan perlindungan kepada-Nya.

Penjelasan hadis :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا

Ertinya: “Dari Ibnu Abbas berkata: Aku pernah berada di belakang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa salam pada suatu hari”

Pada suatu hari Ibn Abbas pernah menunggangi kuda bersama Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam sedangkan dia berada di belakang beliau atau berjalan dibelakangnya.

قَالَ: «يَا بُنَيَّ، إِنِّي سَأُعَلِّمُكَ بَعْضَ الْكَلِمَاتِ

Ertinya: “Beliau bersabda: “Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarkan kepada kamu beberapa kalimat”

احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ

Ertinya: “Jagalah Allah nescaya Dia menjagamu”

Iaitu dengan menjaga hukum-hukum Allah, menjaga hak-hak-Nya, melaksanakan perintaah dan menjauhi larangan-Nya. Dan yang paling wajib dijaga dari perintah-Nya adalah solat sebagaimana Allah berfirman :

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Ertinya: “Peliharalah semua solat(mu), dan (peliharalah) solat wusto. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk.”

(QS. Al-Baqarah Ayat 238)

Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ حَافَظَ عَلَى الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ، رُكُوعَهَا وَسُجُودَهَا وَوُضُوئَهَا وَأَوْقَاتَهَا، وَعَلِمَ أَنَّهَا حَقٌّ عَلَيْهِ مِنَ اللَّهِ، فَلَهُ الْجَنَّةُ

Ertinya: “Barang siapa yang menjaga solat lima waktu; baik rukuknya, sujudnya, wudhu’nya, waktu-waktunya, dan dia tahu bahawa itu adalah hak yang berasal dari Allah, maka dia masuk syurga" atau Baginda bersabda: “Wajib baginya syurga.”

(HR. Ahmad no. 18345 Isnadnya jayyid dan perawinya adalah sahih)

Dan apabila semua itu dijaga maka Allah akan menjaganya. Inilah yang disebut para ulama bahawa balasan itu tergantung kepada perbuatan.

Komentar Pembaca

Belum ada komentar yang diluluskan.