Bismillahirrahmanirrahim
Adab Memberi Nasihat
Sumber : Unit Dakwah Yayasan Ta’lim (LS)
ISLAM amat menekankan adab di kalangan umat manusia kerana setiap perbuatan yang berlandaskan adab dan akhlak yang baik maka seseorang itu dapat meraih kecintaan Allh SWT.
Di antara adab memberi nasihat:
Hendaklah berniat kerana Allah
Ibnu Mubarak pernah ditanya :
Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab " Memberi nasihat kerana Allah SWT ".
Berilah nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lemah-lembut.
فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًۭا لَّيِّنًۭا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ
"Maka berbicaralah kamu kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Allah)” [QS: Taha (20): 44]
"Sesungguhnya Allah Maha lembut dan mencintai kelembutan dalam segala perkara."(HR. Ibnu Majah, 3679, EH9)
Elakkanlah dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai, nasihat yang baik adalah ketika dia sedang bersendirian dan tidak diketahui oleh orang lain atau di tempat yang tertutup.
مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
"Siapa yang menutupi (aib) seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat." (HR.Bukhari, No. 2262, EH9)
Fudhail bin Iyadh Rahimahullah berkata,”Seorang mukmin, ialah orang yang menutupi aib dan menasihati. Sedangkan orang fasik, ialah orang yang merosak dan mencela.”
MUKMIN ADALAH CERMIN BAGI MUKMIN YANG LAINNYA
Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda:
الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ
Ertinya: “Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lainnya.”
(HR. Abu Daud, no. 4918)
Maksud hadis ini seseorang yang beriman, kerana kecintaannya kepada saudaranya kerana Allah, maka dia begitu prihatin kepada saudaranya. Setiap kali melihat kesalahan pada diri saudaranya, maka dia memandangnya dengan pandangan cinta dan kasih sayang yang tulus. Dia tidak membiarkannya, tetapi dia bersegera menasihatinya empat mata dan mengingatkannya dengan lembut dengan penuh hikmat, tidak kasar agar saudaranya tersebut mudah menerima nasihatnya dan segera memperbaikinya.
Nota Sebelumnya
Tiada nota sebelumnya.
Komentar Pembaca
Belum ada komentar yang diluluskan.